twitter


Penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran membawa maksud penelitian terhadap keberkesanan objektif pengajaran yang dikenal pasti yang dibuat berasaskan pertimbangan terhadap bukti empirikal. Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan menggunakan alat ukur yang dinamakan ujian. Namun, perkembangan dalam bidang penilaian menunjukkan banyak cara kita boleh menilai pengajaran pensyarah. Antara pelbagai jenis penilaian yang sering dilakukan di universiti adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar, oral pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik berasaskan maklumat sahih, tekal, telus dan boleh dipertahankan. Tanpa bukti empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan nilai bersifat subjektif, pincang dan rapuh.


Selain itu, penilaian merujuk proses mentafsir atau memberi nilai yang bercorak kualitatif tentang sesuatu kemahiran bahasa berdasarkan jumlah markah pencapaian hasil daripada pengukuran yang telah dilakukan secara kuantitatif. Perkataan cemerlang, baik, sederhana, lemah atau sangat lemah yang digunakan dalam konteks ini adalah sebenarnya istilah penilaian yang diberikan secara kualitatif yang berasaskan pengukuran dan markah yang diperoleh dalam bentuk kuantitatif. Dengan erti kata lain, penilaian juga merupakan satu proses mengumpul maklumat untuk membuat keputusan berkenaan dengan kemajuan, perkembangan, penguasaan dan pencapaian murid dalam pembelajaran. Penilaian adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Penilaian boleh dijalankan secara dua kaedah iaitu, kaedah formatif dan kaedah sumatif.

0 comments:

Post a Comment