twitter





KONSEP PENILAIAN DALAM PENDIDIKAN
Penilaian dalam pendidikan merupakan suatu proses mentaksir sama ada kuantiti atau takat sesuatu yang diukur itu boleh diterima atau tidak. Dengan itu, penilaian melibatkan tiga langkah seperti:
  •  Mendapatkan maklumat melalui cara mengukur
  • Menetapkan suatu kriteria bagi pengukuran
  • Membuat sesuatu pentaksiran (pertimbangan) tentang pengukuran.
Contoh:
Sekiranya objektif pada akhir pembelajaran murid dapat mengenal pasti sembilan jenis kata adjektif. Oleh itu, guru harus memastikan murid dapat mencapai objektif tersebut melalui aktiviti penilaian. Oleh itu, penilaian merupakan suatu proses  menggunakan data kuantitatif dan kualiti untuk membuat penaksiran dan keputusan.
 
1.      Data kuantitatif  : berdasarkan data atau nilai berangka atau markah pencapaian
2.      Data kualiti       :  berdasarkan rekod peristiwa dan pemerhatian tingkah laku murid.

Penilaian penting bagi mengumpul maklumat tentang tahap pencapaian murid. Sekiranya terdapat kelemahan yang dikenal pasti dalam proses penilaian, guru akan membuat satu kesimpulan bagi membantu murid untuk membaiki pencapaian mereka.

TUJUAN/ KEPENTINGAN PENILAIAN
  • Sebagai alat untuk mengesan kekuatan dan kelemahan murid
Penilaian dalam PdP yang dijalankan akan membolehkan guru mengesan kekuatan dan kelemahan murid di dalam kelas.
Contoh 1: penilaian sebelum memulakan pengajaran (set induksi) : guru akan bertanyakan soalan kepada murid berkaitan pembelajaran lampau. Hal ini penting bagi menilai tahap kefahaman dan ingatan murid tentang pembelajaran lepas.

Contoh 2 : penilaian dilakukan selepas proses pembelajaran. Guru akan menggunakan kaedah-kaedah tertentu untuk tujuan penilaian bagi mengetahui sejauh mana pencapaian objektif pembelajaran yang digariskan telah tercapai. Guru juga dapat menilai kekuatan dan kelemahan murid pada waktu itu.
  • Mendapatkan maklum balas tentang keberkesanan kaedah pengajaran yang digunakan.
Penilaian yang dijalankan melalui ujian-ujian tertentu akan membantu guru untuk menilai keberkesanan kedah pengajaran yang digunakan dalam satu-satu proses pembelajaran. Hal ini penting bagi membolehkan guru mendapatkan maklum balas kesesuaian kaedah yang digunakan berdasarkan tahap pengetahuan murid pada masa tersebut. Kaedah pengajaran yang digunakan perlulah bersesuaian dengan tahap pengetahuan murid agar objektif pembelajaran dapat dicapai. Sekiranya hasil penilaian menampakkan hasil yang negatif, guru boleh menggunakan kaedah pengajaran yang lebih sesuai dan berkesan kepada murid tersebut.
  • Menilai prestasi dan kemajuan murid
Penilaian yang dijalankan boleh mengesan tahap prestasi dan kemajuan murid memalui ujian-ujian yang dijalankan. Ujian formatif yang dijalankan sepanjang tahun atau ujian sumatif yang dijalankan pada akhir tahun akan memberi maklumat prestasi dan kemajuan murid. Hal ini penting bagi menilai tahap kefahaman murid tentang konsep-konsep yang dipelajari oleh murid dengan menggunakan kaedah pengajaran yang tertentu. Oleh itu, guru mahu  pun ibu bapa dapat mengetahui pencapaian murid melalui markah tau gred yang diperoleh. Seterusnya, apabila penilaian seperti ujian-ujian yang diberikan akan menunjukkan tahap kemajuan murid tentang tajuk pembelajaran.
  • Membolehkan guru membuat klasifikasi tahap kebolehan
Penilaian yang dijalankan secara berterusan akan dapat memberi ruang kepada guru untuk membuat kategori dan klasifikasi tahap kebolehan dan kemahiran murid. Hal ini penting kerana pencapaian murid akan menjadi rujukan kepada guru untuk membina klasifikasi murid mengikut tahap pencapaian sama ada pada tahap lemah, tahap sederhana, atau tahap baik. Oleh itu, pada pembelajaran selanjutnya, guru dapat merangka satu kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan tahap-tahap tersebut dan memberikan perhatian yang lebih kepada kumpulan murid yang berada dalam kategori lemah semasa menjalankan aktiviti penggayaan dan pemulihan. 

SKOP PENILAIAN DALAM PDP
  •   Kognitif
Penilaian dalam PdP meliputi aspek kognitif murid. Guru perlu menilai sejauh mana berlaku perkembangan intelek atau peningkatan aspek pengetahuan dalam minda murid. Hal ini demikian kerana, objektif pembelajaran perlu dicapai pada setiap akhir pembelajaran. Oleh sebab itu, guru perlu mengukur tahap kefahaman murid terhadap sesuatu tajuk pembelajaran dengan menilai perkembangan intelek mereka. Dengan mengadakan ujian-ujian tertentu akan membolehkan guru mengetahui perkembangan tahap pengetahuan yang berlaku dalam kalangan murid.
  • Afektif
Penilaian ini meliputi aspek perasaan murid yang merangkumi perkembangan minat, motivasi, rohani, dan emosi murid melalui proses PdP yang dilalui. Hal ini demikian kerana, murid akan melalui pelbagai pengalaman sepanjang proses pembelajaran. Sebagai contoh, kadang kala murid akan berasa malas, tidak bersemangat untuk belajar, atau emosi murid yang terganggu. Oleh sebab itu, apabila guru melakukan penilaian, guru akan mengesan sejauh mana perkembangan afektif murid berlaku . Jika perkembangan memperlihatkan hasil yang negatif, guru akan melakukan tindakan lanjut bagi melakukan penambahbaikan bagi aspek tersebut.
  •   Psikomotor
Penilaian ini meliputi aspek perkembangan sikap dan tingkah laku murid hasil daripada proses PdP yang dilalui. Semasa proses pembelajaran, murid akan didedahkan dengan pelbagai perkara dengan menggunakan kaedah-kaedah pengajaran yang berbeza. Oleh itu, penilaian terhadap perkembangan psikomotor murid ini penting bag menilai tindak balas positif murid sama ada dalam bentuk tingkah laku atau sikap semasa proses pembelajaran. Jika murid berubah menjadi seorang yang aktif dan memberi kerjasama yang baik sepanjang proses pembelajaran, maknanya kaedah pengajaran yang digunakan berkesan dan sebaliknya. 




1 comments:

  1. huraian sangat baik.mohon dikongsi

Post a Comment